Sekadar gambar hiasan |
Cerita ini adalah pengalaman sebenar Encik Zainuddin Abd Latif (Pak Din), seorang pemandu bas di sebuah Universiti di selatan tanah air yang telah diceritakan kepada penulis, Mohd Bell semasa penulis sedang belajar di Universiti berkenaan.
“Awak orang baru, Awak mesti rasa kehebatan membawa bas ni”. Itulah kata-kata bos saya. Hari ini genap seminggu saya bertugas di sini dan saya baru mendapat arahan dari pihak pengurusan Universiti untuk menghantar satu kontinjen sukan Universiti ke utara tanah air bagi menyertai kejohanan sukan tahunan. Saya akur kerana sememangnya itulah tugasan saya.
Setelah mengharungi 9 jam perjalanan, akhirnya jam 5.00 petang tiba ke destinasi yang dituju. Oleh kerana kejohanan itu berlangsng selama satu minggu, saya diarahkan untuk membawa pulang bas ke Universiti kerana bas tersebut akan digunakan pula untuk tujuan lain. Namun kerana kepenatan, saya melelapkan mata memandang malam ini saya terpaksa mengharungi sekali lagi perjalanan yang panjang secara berseorangan.
Jam 11 malam, saya bertolak pulang menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Sepanjang perjalanan, saya hanya mengelamun sehinggalah sampai disatu kawasan sunyi lebuhraya berkenaan. Saya sempat memandang jam yang menunjukkan 1.45 pagi. Saya merasa pelik kerana lebuhraya berkenaan amat sunyi, tidak seperti kebiasaan dan hanya bas saya sahaja sedang bergerak pada masa itu. Namun saya hanya sembunyikan perasaan itu.
Dikala sedang mengelamun, tiba-tiba saya mendengar seperti ramai orang bersembang di kerusi belakang bas. Saya sedikit pelik kerana sememangnya hanya saya seorang sahaja ketika itu. Saya tidak memperdulikannya kerana mungkin saya fakir saya masih terbawa-bawa dengan ‘kemeriahan’ suara-suara siswa dan siswi kontinjen sukan yang saya bawa siang tadi.
Sedang dalam berkira-kira tersebut, sekali lagi saya mendengar suara orang sedang berborak dan diselangi suara ketawa. Kali ini lebih kuat dan rasanya lebih ramai. Kerana bimbang dan ingin tahu, saya terus menoleh ke belakang namun apa yang saya nampak hanyalah kerusi kosong dan suara tersebut juga lenyap serta merta. Tidak puas hati saya melihat pula menerusi cermin pandang belakang. Tetap kosong tiada kelibat sesiapapun. Saya berfikir barangkali saya mengantuk dan emosi mungkin terganggu kerana masih kepenatan.
Selang beberapa saat selepas itu, kali ini saya mendengar suara orang ketawa, berborak dan bersembang lebih kuat dan ramai. Seperti sebuah bas yang dipenuhi penumpang. Saya yang mula tidak rasa sedap hati, memberanikan diri melihat ke belakang menerusi cermin pandang belakang. Bulu roma saya tiba-tiba menegak dan saya hampir menjerit apabila saya melihat semua kerusi penumpang daripada depan hingga ke kebelakang dipenuhi dengan kelibat perempuan serba putih berambut panjang yang menutupi muka sedang duduk sambil menundukkan kepala. Kesemua ‘mereka’ berkeadaan duduk dengan gaya yang sama.
Saya hanya mampu beristighfar dan membaca surah-surah yang dingati pada masa itu dan cuba mengawal keadaan bas agar tidak hilang kawalan ataupun kemalangan. Oleh kerana tidak tertahan, saya menjerit kepada makhluk tersebut “aku tidak kacau kamu, kamu pulanglah ke tempat kamu” berulang kali.Saya sempat mendengar suara perempuan mengilai kuat sebelum lenyap dari pendengaran.
Tidak semena-mena, saya akhirnya dapat melihat deretan kereta di belakang dan hadapan saya. Saya yang ketakutan terus memasuki Hentian Rehat berdekatan dan keluar dari bas. Saya mengambil keputusan untuk tidur di Hentian Rehat tersebut sehingga waktu siang barulah saya meneruksan perjalanan pulang.
Selepas kejadian itu, saya mengalami demam panas yang teruk. Beberapa sahabat saya ada memberitahu bahawa bas yang saya bawa tersebut merupakan bas “secondhand” yang pernah terbabit dalam kemalangan
jalanraya dan telah mengorbankan beberapa nyawa. Laluan tempat kejadian itu berlaku adalah lokasi bas tersebut kemalangan dahulu. Saya cukup terkejut mendengarnya. Sekarang baru saya faham kata-kata bos saya tentang “kehebatan” bas tersebut.
Mohd Bell ® Hak Cipta Terpelihara
3 comments:
al-fatihah utk pak din yang telah kembali ke rahmatullah...
Mohd Bell
Al-fatiha..Semoga roh beliu di cucuri rahmat.
adi
Al-fatiha..
Post a Comment